Sunday 2 September 2012

Penduduk Bintulu diseru hadir menyokong sambutan Hari Malaysia



BINTULU: Penduduk Bintulu diseru hadir menyokong sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di pekarangan Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1.

Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari berkata, kehadiran semua penduduk amat diperlukan untuk menyambut perayaan itu dengan penuh bersemangat supaya sambutan seumpamanya tidak hanya gah di Bukit Jalil bahkan di bahagian Bintulu juga.

“Kita tidak mahu sambutan hanya hebat di Bukit Jalil tetapi apabila berpijak di bumi Bintulu suasana sambutannya `sejuk’.

“Kita mahu semangat yang membakar pada sambutan itu,” ujarnya pada sidang media sempena Majlis Ramah-tamah Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu di kediamannya di Jalan Tun Ahmad Zaidi semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak yang ada di Bintulu menggembleng tenaga untuk hadir termasuk jemputan khas menyambut Hari Malaysia pada 16 September ini.

Ujarnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlepas dari Sibu pada jam 4.10 petang pada hari tersebut dan tiba di Bintulu pada jam 4.20 petang sekali gus akan bersama rakyat berhimpun menyambut Hari Malaysia di Kampung Assyakirin Fasa Satu, Dua dan Tiga pada jam 4.35 petang.

“Kita amat berharap orang ramai dapat hadir bagi memeriahkan acara dengan semangat 1Malaysia,” tambahnya.

Sebagai pentadbir dan pengerusi bersama majlis beliau menjemput semua pihak hadir pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini seawal jam 4 petang di pekarangan Balai Raya Kampung Assyakirin Fasa 1.

“Mereka yang hadir akan diberi topi dan bendera-bendera (Jalur Gemilang) yang akan dikibarkan sebagai tanda sayang dan menyemarakkan semangat Hari Malaysia,” tambahnya.

Muhamad Yakup berkata, pada majlis itu Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan memberikan ucapan alu-aluan diikuti amanat akan disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Inilah amanat Perdana Menteri untuk acara penutupan sambutan Hari Malaysia tahun ini,” katanya.

Beliau berkata acara kemuncak penutupan pada sebelah malam Hari Malaysia pula akan diadakan di lapangan terbang lama Bintulu dimulakan dengan persembahan artis Akademi Fantasia Hafiz yang berasal dari Kuching Sarawak diikuti oleh persembahan artis dari Sabah Jimmy Palikat yang terkenal dengan lagunya `Anak Kampung’ seawal jam 7.30 malam.

“Ketibaan Perdana Menteri di tapak itu dijadual pada jam 8.30 malam yang sekali gus Perdana Menteri akan berada di dual okasi di Bintulu.

“Rancangan awal Perdana Menteri untuk melawat kawasan Iban, Cina dan Melayu sempena sambutan Hari Raya tidak dapat diadakan berikutan kesuntukan masa yang mana Perdana Menteri turut menghadiri majlis perayaan Hari Raya Aidilfitri bersamamasyarakat di Sibu dan perasmian Kolej Laila Taib menjadi kolej universiti dan kenaikan taraf Lapangan Terbang Sibu sebelum itu,” jelasnya.

Jelasnya, seperti yang dirancang jawatankuasa urus setia sambutan Hari Malaysia di Bintulu akan menyediakan juadah makanan dalam suasana Hari Raya dengan menjemput pelbagai kaum untuk hadir bersama.

Terdahulu pelbagai persatuan, pertubuhan, parti politik, kenamaan, ahli perniagaan, pemimpin politik dan ketua-ketua masyarakat serta penduduk setempat menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di kediaman Residen Bintulu tersebut semalam.

Kehadirannya di rumah terbuka Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di kediaman rasmi Residen Bintulu di Jalan Tun Ahmad Zaidi semalam.




Sumber :: :www.theborneopost.com

No comments:

Post a Comment