Sunday 2 September 2012

Hari Malaysia tidak harus dianggap remeh



BINTULU: Sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini tidak harus dianggap remeh oleh sesetengah pihak memandangkan pada tarikh tersebut (16 September 1963) sebuah negara berdaulat Malaysia dibentuk bersama Sarawak dan Sabah, kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Komunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

Katanya pihak tertentu yang menganggap perkara itu remeh-temeh, sewajarnya tidak berfikiran begitu.

“Tarikh 16 September adalah hari signifikan untuk kita semua. Tarikh tersebutlah Sarawak (bersama Sabah dan Malaya) membentuk Malaysia sebagai negara yang berdaulat setelah dijajah pada era Rajah Brooke, British dan seterusnya Jepun,” ujar Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) itu.

Dr Rundi bercakap pada sidang media semasa menghadiri Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Pejabat Pentadbiran Bahagian Bintulu di kediaman Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari semalam.

Beliau berkata, pembangunan telah mengubah landskap Sarawak selepas penjajahan kerana jika negeri ini tiada kedaulatan dan kemerdekaan kita tidak tahu nasib masa depan negeri ini.

“Terima kasih kepada Bapa Malaysia Tunku Abdul Rahman yang membawa negeri kita terus maju dan terus harmoni,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena itu.

Beliau berkata rakyat harus bersyukur kerana mendiami negeri yang luar dari lingkungan bencana alam, banjir, gempa bumi dan gunung berapi.

“Tuhan begitu banyak merahmati kita, justeru kita sewajarnya mempertahankan keamanan dan kedaulatan negeri dan negara ini supaya rakyat Malaysia terus aman dan sejahtera,” katanya.

Bercakap mengenai pusat sambutan di Bintulu katanya: “Kabinet memutuskan Bintulu dipilih sebagai tempat sambutan Hari Malaysia melihat kepada sejarah bandar ini sendiri sebagai lokasi pertama mesyuarat Dewan Undangan Negeri (diadakan pada 8 September 1867 di Bintulu sebagai dewan perundangan yang tertua di Malaysia),” jelasnya.

Katanya pada 1960-an, Bintulu adalah sebuah perkampungan nelayan yang hanya mempunyai 5,000 penduduk dengan tiada landskap pembangunan namun setelah sumber minyak dan gas di temui di sini termasuk pembangunan industri (baja urea) ASEAN Bintulu Fertilizer, pembangunan Bintulu telah dirancang dengan teratur.

“Sekarang penduduk Bintulu telah mencecah lebih 200,000 penduduk dengan memiliki banyak projek raksasa yang dibangunkan tidak hanya projek sedia ada iaitu MLNG (milik Petronas) bahkan di Samalaju projek pembangunan loji di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang menalan belanja ratusan juta ringgit,” katanya.

Disebabkan itu katanya, kita seharusnya berterima kasih dengan keadaan semula jadi Bintulu yang sesuai untuk pembangunan industri.

Bagaimanapun katanya, saya menyeru warga Bintulu untuk mengambil peluang daripada pembangunan yang ada agar tidak hanya menjadi penonton sebaliknya merebut segala peluang yang ditawarkan.

Dr Rundi turut menggesa agar generasi muda menyambut Hari Malaysia supaya mereka dapat memahami bagaimana Malaysia dibentuk bersama Sabah dan Sarawak.

Sementara itu katanya, kumpulan jawatankuasa sambutan Hari Malaysia di Bintulu kini bekerja keras untuk menjayakan sambutan itu dengan sekurang-kurangnya 5,000 penduduk kampung khususnya Kampung Assyakirin akan menghadirinya serta 15,000 orang lagi warga Bintulu dan luarnya akan menghadiri sambutan kemuncak Hari Malaysia di tapak lapangan terbang lama di sini.

“Acara sambutan kemuncak bukan sahaja dihadiri oleh penduduk Bintulu dan luarnya bahkan menteri-menteri kabinet kerajaan persekutuan dan negeri akan berada di Bintulu, manakala aspek keselamatan orang ramai juga akan diambil kira,” katanya.

Ujarnya tahun ini mengambil kira akan Sarawak sebagai tuan rumah untuk sama-sama menyambut Hari Malaysia dan pelbagai kaum diseru untuk memberi sokongan dengan membawa bersama generasi muda untuk menyambutnya kerana jika tidak mereka tidak akan dapat merasai tarikh 16 September sebagai hari pembentukan negara Malaysia.
Sumber :: http://www.theborneopost.com

No comments:

Post a Comment