Tuesday 4 September 2012

Bintulu bakal miliki pusat boling bertaraf antarabangsa

BINTULU: Bintulu bakal memiliki sebuah pusat boling bertaraf antarabangsa bernilai RM4.5 juta yang akan dibina dalam bangunan pusat beli-belah terbaru Commerce Square yang sedang dalam proses pembinaan.

Naib Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) Troy Yaw Chee Weng berkata, pusat boling terbabit yang berkeluasan kira-kira 30,000 meter persegi merupakan MegaLanes yang kedua dibina di negeri ini selepas MegaLanes di Miri.

“Dengan siapnya pusat boling ini nanti, ia akan membolehkan penduduk di bahagian Bintulu menikmati kemudahan sukan ini tanpa perlu lagi pergi ke Miri kerana sudah mempunyai pusat boling yang serba canggih yang mempunyai standard sama sebagaimana MegaLanes yang terdapat di Kuantan dan Sunway Pyramid,” ujarnya.

Jelasnya, pusat boling terbabit yang direka khas dengan bahan binaan canggih serta bertaraf antarabangsa sudah pasti menjadi antara kebangaan warga Bintulu terutama yang berminat dengan sukan boling ini bagi mengasah bakat masing-masing dalam sukan ini selain untuk beriadah bersama-sama keluarga serta rakan-taulan.

Katanya bagi menjadikan suasana dalam pusat berkenaan lebih santai dan hidup, pihaknya turut menyediakan beberapa kemudahan rekreasi buat para pengunjung dan antaranya ialah tempat bermain pool yang luas dan selesa.

“Setelah bermain boling, anda juga boleh mencuba pelbagai menu makanan ringan yang turut disediakan berhampiran pusat bermain boling dan dalam pada itu bagi mana-mana individu yang ingin meraikan ulang tahun serta acara-acara sambutan korporat, mereka boleh mengadakanya di pusat terbabit yang turut dilengkapi dengan sistem audio,” ujarnya.

Sumber :: http://www.theborneopost.com

No comments:

Post a Comment